


PEGAWAI-PEGAWAI BARU PENGAMBILAN KE-17 MENGADAKAN MAJLIS MAKAN MALAM BERADAT
TANAH JAMBU, Jumaat, 18 Januari 2019 – Sempena tamat perbarisan lalu bagi Pegawai Kadet bagi pengambilan ke-17, Pegawai-Pegawai baru telah mengadakan Majlis Makan Malam Beradat yang berlangsung di Dewa Istiadat, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis adalah Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah ABDB. Turut hadir ialah Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama, Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah Pegawai Sekolah Kadet, Pegawai-Pegawai kanan dan pegawai-pegawai Akademi Pertahanan.
Ketibaan Pemerintah disambut oleh para Pegawai-Pegawai baru Pengambilan ke-17 dan tetamu-tetamu majlis sebelum diteruskan dengan bergambar ramai. Upacara makan malam tersebut diiringi dengan orkestra yang dipersembahkan oleh Pasukan Pancaragam ABDB.
Seterusnya ialah ucapan yang disampaikan oleh penerima anugerah Sword of Honor, 1255 Leftenan Muhd Hidayatullah Sunazul Fikar bin Suip. Antara salah satu cabaran yang beliau hadapi semasa latihan ialah memberi tumpuan kepada latihan ketenteraannya sekaligus mengekalkan Hafazan beliau dalam masa yang sama di sepanjang latihan.
Selesai makan malam beradat, beberapa tetamu majlis berpeluang untuk mengepalai kumpulan orkestra ABDB dan kemudiannya diakhiri dengan penandatanganan lembaran kenangan oleh Pemerintah ABDB sebelum bersurai.