SEKOLAH PEGAWAI KADET PENGAMBILAN KE-24 MENGADAKAN SESI PERKONGSIAN KEPIMPINAN BERSAMA KOMANDAN AKADEMI PERTAHANAN ABDB
TANAH JAMBU, 24 Disember 2025 – Pegawai Kadet (PKdt) Pengambilan Ke-24 telah menghadiri sesi perkongsian kepimpinan yang disampaikan oleh Yang Mulia Kolonel (U) Azmie Iskandar bin Ariffin, Komandan Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), bertempat di Dewan kuliah Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB (SPK AP ABDB).
YM Komandan menegaskan bahawa kepimpinan dizahirkan melalui tindakan, dengan ketahanan diri, disiplin dan profesionalisme sebagai asas kepercayaan, serta menekankan nilai teras Setia kepada chain of command berteraskan keimanan dan akauntabiliti.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa meskipun setiap angkatan tentera mempunyai nilai teras masing-masing, nilai Taqwa merupakan elemen yang membezakan pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. PKdt digalakkan menjadikan nilai-nilai teras sebagai panduan utama, di samping mengadaptasi perkara yang bersesuaian dan bermanfaat dalam membentuk diri sebagai pegawai berkualiti yang memenuhi standard profesional ABDB.
Selain itu, PKdt turut diingatkan bahawa pentauliahan menandakan peralihan penting dari segi tanggungjawab, di mana tahap akauntabiliti meningkat dan ruang untuk kesilapan semakin terhad. YM Komandan menasihatkan agar daya juang diaplikasikan dengan kebijaksanaan dan kawalan diri, dengan mengutamakan pertimbangan yang rasional berbanding emosi, serta terus berusaha memperbaiki diri.
Menutup perkongsian tersebut, YM Komandan menekankan kepentingan disiplin, sifat rendah hati dan profesionalisme, di samping mengingatkan agar menjauhi sikap angkuh serta menerima setiap tugasan secara positif sebagai sebahagian daripada pembangunan diri dan kepimpinan. Sesi diakhiri dengan bacaan doa penutup.
SETIA, TAKWA, BERANI